Wed | Apr 30, 08 | 1:31:24 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Setelah berakhirnya pilihan raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, parlimen Malaysia bersidang buat pertama kalinya pada 28 April hingga 27 Mei 2008.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam satu kenyataannya melihat senario politik Malaysia sesuatu yang positif dalam erti kata 'check and balance' dan sekali gus merasakan politik Malaysia menuju fasa yang lebih baik.
"Sidang parlimen kali ini akan memperlihatkan kualiti dan kreadibiliti 222 wakil rakyat yang telah mendapat mandat dari rakyat untuk memikul tanggung jawab dalam menyuarakan suara sebenar kehendak rakyat.
"Persidangan Parlimen ini merupakan mandat, amanah dan rakyat seluruh Malaysia akan melihat personaliti sebenar setiap wakil rakyat yang telah dipilih," kata Setiausaha Agung Abim, Khairul Ariffin Mohd MUnir.
Jika sebelum ini rakyat Malaysia tidak dapat mengikuti siaran langsung persidangan parlimen, kali ini pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengambil langkah proaktif dan inisiatif awal untuk menyiarkan persidangan parlimen selama setengah jam, katanya.
ABIM cukup menghargai langkah awal yang diambil oleh pihak RTM ini dalam memberi informasi dan maklumat akan isu yang dibawa oleh setiap wakil rakyat di dalam parlimen kelak, katanya.
Tindakan ini boleh memberi kematangan kepada rakyat menilai prestasi wakil rakyat dan isu-isu yang dibahaskan, ujarnya.
ABIM mengesyorkan agar satu perancangan khusus diatur oleh RTM bagi mewujudkan satu saluran khas berhubung dengan parlimen Malaysia yang akan menyiarkan perbahasan penuh dan ulasan-ulasan secara langsung seperti yang berlaku di Britain.
Saluran tersebut dibuat secara interaktif bagi membolehkan rakyat memberi ulasan, komen dan cadangan terhadap isu-isu yang dibahaskan, katanya.
ABIM berharap pada sidang parlimen kali ini, wakil rakyat mampu memberikan perbahasaan yang mantap dan jitu, ujarnya.
Wakil rakyat harus mengambil kira fakta yang sebenar dan tepat dalam setiap sesi perbahasaan, sudah tentu ia akan memasakkan lagi isu perbahasaan dan mampu mencari kebenaran sebenar, katanya.
Penggunaan bahasa yang betul dan tepat juga perlu diambil perhatian oleh setiap wakil rakyat ketika sesi perbahasaan agar mesej yang ingin disampaikan jelas, mudah difahami dan mencapai matlamat, katanya.
ABIM juga mencadangkan agar setiap wakil rakyat mempunyai hubungan baik dengan komponen 'civil society' atau masyarakat sivil dalam masyarakat yang terdiri daripada NGO, ilmuan, ahli akademik dan institusi komuniti akar umbi.
Sehubungan itu penubuhan kumpulan pemikir atau perunding yang berfungsi sebagai 'think-tank' tersendiri dalam mengkaji sesuatu isu sebelum perbahasaan di parlimen wajar diwujudkan oleh ahli Parlimen, katanya.
Mengambil pertimbangan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai berbilang kaum dan agama, adalah diharapkan agar setiap ahli parlimen tidak menimbulkan isu-isu yang sensitif yang kelak menimbulkan ketidakharmonian di kalangan masyarakat majmuk Malaysia ini, ujarnya.
ABIM menyeru agar isu-isu sensitif perlu bersandarkan kepada fakta sejarah, penyelidikan dan pandangan daripada kumpulan pakar berhubung dengan isu tersebut, katanya.
"Harapan tinggi diletakkan agar sidang parlimen pada kali ini akan menampakkan kematangan di kalangan setiap wakil rakyat dan mampu menyuarakan aspirasi rakyat yang sebenar," katanya. - mns
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=14182&Itemid=28
No comments:
Post a Comment